Khamis, 30 Julai 2009

SINOPSIS PERANG DALAM MIMPI DUA MALAIKAT

(Sebuah Sajak Mengingati Syuhada Perang di Iraq)

Jangan tidur sahabatku,
ketika mimpi ngeri anak kecil
didatangi Kashmir dikerudung duka,
nafasnya kencang...rindukan ayah bonda
ketika biru langit seakan merah
dan berapungan uncang nyawa
sesudah menyebut Ilahi - nyawa pergi
di hujung senapang menanti Izrail
"lah'ilahailallah" - syahidlah seorang hamba
ditelan debu sunyi.

Sementara nisan ayahanda berdiam
sesudah Baitul Maqdis lengang - dikunyah cemas
bayi-bayi belum bernama
tanpa dikafan kuburnya digali
sedang ibunya diramas hiba
keduanya hilang tanpa ada waktu berpesan
Masih Baghdad merindui redupnya
didoa ke langit moga masih membiru
meskipun angin Barat
memberi tanda taufan mengulung
bakal diamuk halintar
sementara petir sambar menyambar
dan hati bak mengecil dek goncang goncangan
dilihat Izrail ada di mana-mana
barangkali siang ini tertidur
dan besoknya bangkit dikejut dua malaikat
dalam mimpi tersenyum keduanya
di manzilah-manzilahnya kami disambut mesra.

Anjan Ahzana
Universiti Malaya 2003

Selasa, 21 Julai 2009

Hutan Persahabatan


Berkawan denganmu
Ialah berkawan dengan ilmu,
Dengan akal yang selalu di raut,
Renung yang selalu dikikir
Dan hujah yang selalu diasah.

Berkawan denganmu
Ialah bermusuh dengan musuhmu,
Dengan si fitnah yang beraja
Pada api perasaan,
Dan si dengki yang bersedia
Membentesmu dari belakang.
Ah, kawan, lupakan mereka.
Mari teruskan perburuan kita

Di hutan persahabatan kekal ini.
Aku tidak memerlukan kata-kata indah
Tetapi tangan ikhlasmu
Apabila terjatuh di perburuan ini.
Aku hanya ingin menemanimu
Di perjalanan yang penuh halangan
Dan perburuan yang menyukarkan.
Aku tidak memerlukan mereka,
Mari teruskan persahabatan kita.

T. Alias Taib


Kembali ke Laman Blog e-Pendidikan Islam

Ahad, 19 Julai 2009

Assalamualaikum

Salam

Ruang khas ini untuk pelajar menyiarkan karya kreatif seperti sajak, cerpen, rencana dan sebagainya.

Para pelajar boleh mengirimkan sebarang bentuk tulisan ke ruangan ini. Sila emelkan ke emel muhd@live.com.